Sunday, November 15, 2009

PAS, Media Baru dan Persepsi

Benar kalau ada orang mengatakan politik itu adalah persepsi. Benar juga andai orang mengatakan bahawa barangsiapa yang menolak persepsi pada zaman ini, maka ia adalah primitif.

Siapapun tiada mampu untuk menafikan kedua-duanya kerana itu adalah satu perkara yang dominan dalam kehidupan bermasyarakat malahan menjadi panduan utama di dalam kita menilai sesuatu tindakan yang dilakukan oleh seseorang individu, organisasi, parti politik, dan sebagainya.

PAS juga tidak terlepas daripada persepsi ramai. Dua tiga minggu kebelakangan ini ramai orang membicarakan perihal persepsi terhadap PAS. Setelah diteliti, rupa-rupanya salah satu sebab kenapa imej PAS tercalar dan menjadi faktor utama kepada kekalahan PRK di Bagan Pinang lalu adalah kerana timbulnya beberapa persepsi yang salah daripada sesetengah pihak.

Persepsi ini mula wujud apabila sesuatu berita yang dilaporkan atas sesuatu isu itu didatangkan terlebih dahulu oleh media. Media kebanyakkannya menghamburkan sesuatu cerita atau berita yang lebih bersifat sensasi, kontroversi dan adakalanya berbaur fitnah tanpa dikemukakan fakta yang kukuh dan benar, dan itulah sebabnya mengapa media lebih tertumpu kepada hal itu kerana semata – mata ingin mengejar populariti ataupun rating yang tertinggi daripada kalangan pembaca.

Demikian pula dengan media baru yang diusahakan melalui blog. Rata-rata masyarakat pada waktu ini lebih menumpukan perhatian kepada dunia blog. Apa sahaja isu-isu terkini yang diulas dengan penuh sensasi dan mendebarkan menjadi santapan ramai daripada para pembaca.

Lumrahnya manusia sememangnya begitu. Inginkan yang segar, sensasi, terkini dan lebih bersifat kontroversi.

Golongan muda seperti saya adalah golongan yang sememangnya mudah terpengaruh dengan sesuatu isu yang dipalitkan sama ada oleh media massa ataupun melalui media baru. Apabila sesuatu isu dihuraikan dalam bentuk yang sememangnya menimbulkan keraguan setelah didatangkan fakta yang dilihat seakan - akan benar, maka timbullah persepsi yang tidak baik di kalangan orang muda.

Mana mungkin untuk mengatakan bahawa PAS itu tidak baik kerana selama ini belum pernah lagi kedengaran yang PAS ini terlibat dengan politik wang, dijenamakan sebagai parti rasuah, diperjuangkan oleh beberapa individu yang lebih bersifat kepentingan, sanggup menggadaikan maruah sekalian para wanita, dan sebagainya.

Semuanya itu menimbulkan persepsi yang meragukan apatah jikalau ia seringkali diulang dan diulang oleh media massa dan juga media baru melalui suntikan blog yang muncul. Sedangkan yang banyak mengulas ke arah terbentuknya segala persepsi yang negatif ini adalah daripada beberapa blog yang dahulunya dilihat seperti menghulurkan senjata yang tiada henti-henti kepada musuh utama- Barisan Nasional dan juga UMNO. 

Tetapi hari ini pula sebaliknya. Mengapa hal ini berlaku?

Mengapa PAS seringkali menjadi sasaran utama dalam hal ini? Jikalau dikatakan adanya beberapa blog yang sebelum ini dilihat kepada pro-pakatan, mengapa tidak lancarkan sahaja serangan yang berterusan terhadap pihak lawan yang sememangnya menjadi musuh tradisi kita zaman berzaman.

Kenapa harus timbul perkara – perkara yang sememangnya tidak memberi keuntungan langsung kepada pakatan pembangkang, malahan dijadikan kesempatan oleh pihak lawan untuk melancarkan serangan yang bertali arus kepada pihak pembangkang. 

Sampai bila perkara ini harus dibiarkan berlalu dengan begitu sahaja?. Bukankah kita sudah berjanji untuk menghapuskan rejim UMNO dan Barisan Nasional dan seterusnya mengejar cita – cita murni untuk bersama menaiki takhta di Putrajaya.

Tahukah bahawa apabila semua ini berlaku, akan menyebabkan timbulnya beberapa andaian dan persepsi yang berbeza-beza dari kalangan kita semua - semuanya ingin memberi tahu serta mempertahankan hak mengikut pandangan peribadi tentang mana satu yang dikatakan betul dan mana satu yang dikatakan salah.

Lantas, perkara inilah yang menjadi bahan gelak gelak ketawa pihak musuh dan menjadikannya sebagai modal utama untuk melancarkan serangan bertali arus bagi mewujudkan satu persepsi yang negatif kepada seluruh masyarakat akan ketidak haluan perjuangan yang didokong oleh PAS selama ini.

Itulah sebabnya hal ini masih terus berlaku kepada PAS dan tempiasnya juga akan mengena kepada parti – parti sekawan ; PKR dan DAP.

Fahamilah apabila persepsi yang meragukan ini seringkali timbul tanpa adanya penilaian yang baik dari kalangan masyarakat, sudah pasti hasrat PAS untuk terus memakmurkan perjuangan serta melebar-luaskan pengaruhnya kepada seluruh masyarakat di Negara ini, pasti tidak akan terhasrat malahan menjadi cacian yang serupa sepertimana cacian mereka terhadap UMNO dan Barisan Nasional yang sememangnya terpalit dengan jenayah-jenayah besar Negara.

Media, utamanya melalui media baru haruslah bijak di dalam menepiskan segala persepsi yang gundah ini. 

Marilah bersama kita menjaga reputasi kita sebagai pihak yang senantiasa membela perjuangan ini dan seterusnya melancarkan serangan yang berterusan kepada pihak lawan agar cita-cita untuk menjatuhkan UMNO-BN menjelang PRU ke-13 tercapai dengan jayanya.

Ingat! Kita berjuang semata-mata untuk melawan UMNO-BN, dan bukannya saling menyalah tanggapan untuk menjatuhkan mana - mana individu yang dikatakan berkelompok dalam parti ini.

Dan pastinya diingatkan juga bahawa menimbulkan persepsi yang salah kepada masyarakat pada waktu ini merupakan strategi utama musuh bagi menghapuskan perjuangan mendaulatkan Islam di muka bumi ini. 

Moga-moga kepada ALlahlah jua kita pasrahkan segala kesudahan kita... Insya-ALlah.

Berkaitan :

  1. Risiko menyebar maklumat bohong - Haji Hadi (Islam itu Indah)
  2. Mengurus persepsi vol 3 (Ustaz Nasrudin Tantawi) 

0 comments: