Hari ini saya telah menjadi saksi kepada sebuah pertelingkahan yang berlaku di antara kawan dengan seorang pelajar senior. Puncanya, pelajar senior yang tiada rasa hormat telah memanggil secara melulu nama kawan akibat daripada peristiwa kecil yang berlaku di dalam lif.
Tak perlu saya ceritakan kerana kes itu hanyalah biasa, cuma mungkin kerana ketidakpuasan hati pelajar senior itu yang membuatkan hatinya berasa panas lalu berteriak keras memanggil nama kawan saya untuk tampil memberikan penjelasan.
Siapa yang tidak marah kalau nama yang elok dipanggil secara ganas dengan panggilan " Woi!!! Mari sini engkau. Kenapa kau ketuk - ketuk dinding lif tadi ha?? Kau jangan kurang ajar di sini!! "
Dia berani kerana dia pelajar semester 6. Dia berani kerana usianya lebih tua dari usia kawan saya. Dia berani kerana tubuhnya besar dan bodynya menonjol semacam The Rock. Dadanya membungkus keluar seperti nasi lemak yang dibungkus padat, begitulah bayangan saya boleh jelaskan di sini supaya anda boleh faham akan bentuk fizikal yang ada pada tubuh badannya.
Tetapi saya teramat yakin yang dia berani bertindak sebegitu hanyalah disebabkan badannya yang dikatakan sasa itu sedangkan kawan saya bertubuh biasa sahaja, kurus sama seperti dilihat seakan kain jemuran yang tersidai pada ampaian.
Waah, dia dilihat seumpama jantan yang benar-benar hebat pada malam ini..
Lalu, apakah ini semua yang hendak dibanggakan?
Benar, anda seorang pelajar senior. Benar, anda lebih usia dari usia kawan saya dan benar, anda tidak langsung pernah bertemu dengan orang yang berani melakukan perkara yang tidak sepatutnya di hadapan mata anda.
Tetapi adakah ini sikap kamu yang kamu tonjolkan kepada para pelajar junior hanya disebabkan title kamu yang bergelar sebagai seorang pelajar senior?
Mari kita berbicara soal kehormatan dan adab sopan santun di dalam kehidupan harian.
Islam sudah tampil menjelaskan kesemuanya. Kalau anda sebagai seorang pelajar yang paling lama mendiami di Qaryah B.O.T (Build + Operate + Transfer) ini, sudah tentu anda faham akan makna sebuah penghidupan yang didasari perasaan hormat menghormati di kalangan para penghuni mahasiswa yang ada.
Tapi, anda berteriak keras, anda tidak berfikiran rasional dalam tindakan, anda menyinsing tangan, dan anda marah-marahkan dia. Lalu, apa untungnya anda melakukan perkara itu?
Tolonglah sebagai seorang pelajar senior, anda haruslah bijak di dalam bertindak, hormat kepada golongan baru dan haruslah bernas di dalam berkata - kata barulah anda dilihat sebagai orang yang benar - benar dipandang mulia oleh para pelajar junior sekalipun anda mempunyai personaliti yang menarik baik dari segi bentuk tubuh badan, wajah yang tampan dan sebagainya.
Sekalipun jika anda rasa tidak bersetuju dengan sesuatu tindakan yang telah dilakukan oleh pelajar junior, anda haruslah tampil secara rendah hati menegur perbuatan yang anda tidak berkenan itu.
Barulah itu dikatakan jantan di dalam kehebatan.
Oklah, saya tidak berniat untuk mendedahkan keburukan individu yang terlibat di dalam pertelingkahan yang hampir - hampir mencetuskan pergaduhan itu tetapi saya hanyalah menyuarakan teguran mengenai kesilapan yang telah dilakukan hanya kerana ingin menonjolkan sifat kejantanannya. Hakikatnya, dia silap di dalam tindakan yang telah dilakukannya itu.
Perlu di ingat! SIIUC is an islamic territory dan di mana - mana pun adalah begitu. So, peliharalah dengan sewajarnya supaya dilihat islamic berasaskan amalan Islam yang dilakukan oleh kita semua.
ALlah pelihara kita.

0 comments:
Post a Comment